Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, langkah menaik taraf sebahagian daripada pusat itu selain menambah bilangannya akan dipertimbangkan sekiranya ada keperluan daripada pihak YPKT.

“Permintaan terhadap kemudahan taska akan meningkat dari tahun ke tahun, jadi, dari segi perincian tentang berapa bilangan yang diperlukan mengikut Parlimen, kita serah kepada YPK untuk buat kajian.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong Taska Permata Keluarga dan jika ada keperluan kita akan berusaha dapatkan peruntukan tambahan. Walaupun pendidikan penting tetapi keselamatan di setiap lokasi juga sama mustahak,’’ katanya kepada pemberita selepas Majlis Hafaz Muqaddam Taska Permata Keluarga Kuala Nerus di Dewan Serbaguna Tok Jembal, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Seramai 213 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun daripada tujuh Taska Permata Keluarga dalam kawasan Parlimen itu diraikan dalam majlis graduasi apabila berjaya menghafaz 23 surah lazim.

Alias memberitahu, daripada kesemua 66 buah Taska Permata Keluarga di negeri ini hanya dua yang beroperasi di lokasi yang diubah suai daripada premis banglo dan perniagaan iaitu di Wakaf Tembesu di sini dan rumah kedai Majlis Daerah Hulu Terengganu.

“Asalnya kita tidak buat untuk taska tetapi oleh kerana ada permintaan tinggi di kawasan itu dan kita tidak sempat buat premis baharu maka kita gunakan bangunan yang disewa dan tukarkan jadi taska.

“Apabila hendak naik taraf kita tidak boleh siap 100 peratus, walaupun ada sedikit kekurangan tetapi kita gunakan juga,’’ katanya.

Menurut Alias, YPKT sentiasa melakukan pemantauan berte­rusan berhubung operasinya dan kakitangan dengan setakat ini tiada sebarang laporan atau aduan berhubung pengania­yaan terhadap kanak-kanak.