Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kawasan seluas 32,000 hektar itu yang dipenuhi kekayaan sumber alam semula jadi dapat menjana pendapatan melalui peluang-peluang perkhidmatan pelancongan seperti aktiviti menyusur sungai dan melihat tuntung.

“Pelbagai aktiviti boleh diko­mersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri pembuatan makanan, penternakan tiram, kerang dan ketam selain tapak pembenihan akuakultur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Setiu Boardwalk di Pengkalan Gelap di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan ba­ginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Datuk Profesor Emeritus Dr. Makhdzir Mardan dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.

Baginda menyifatkan kawa­san berkenaan menambahkan ke­unikan dan keistimewaan Te­rengganu dengan kepelbagaian produk ekopelancongan yang unggul di rantau ini.

“Pelancaran Setiu Boardwalk ini adalah mukadimah kepada memperkenalkan khazanah alam kita bukan sahaja kepada pelancong tetapi sebagai pembuka minda masyarakat tentang pen­tingnya memulihara kelestarian biodiversiti kehidupan yang me­rupakan habitat semula jadi flora dan fauna,” titah baginda.

Menurut baginda, pewartaan sebahagian daripada 32,000 hektar tanah bencah itu sebagai Taman Negeri amat bertepatan pada masanya yang diharap dapat memberi impak besar kepada masa depan tanah bencah dan penduduk setempat.

Namun baginda mengingatkan kejayaan untuk melestarikannya bermula dengan anjakan minda dan memberi keutamaan dalam memastikan pelaksanaan, peraturan dan penguatkuasaan diterjemahkan agar dapat memartabatkan kawasan itu di persada dunia.

Tanah Bencah Setiu mempunyai pelbagai ciri semula jadi yang melibatkan ekosistem marin, air tawar dan air payau serta sembilan habitat yang saling berhubungan dengan laut, pantai selut, lagun, muara, sungai, pulau, pantai dan hutan bakau.

Ini menjadikannya sangat istimewa kerana memiliki sumber biodiversiti yang tinggi dengan populasi spesies yang pelbagai termasuk tuntung laut yang sangat terancam di dunia, selain menjadi kawasan persinggahan burung-burung migrasi seperti dari Siberia dan China semasa peralihan musim sejuk.