MOHD NOR HAMZAH
MOHD NOR HAMZAH

Mereka merupakan sebahagian daripada 276,541 orang pemohon yang telah mendapat kelulusan bantuan tahunan bagi anak negeri yang keseluruhan melibatkan peruntukan berjumlah RM69.13 juta, dan akan mula disalurkan Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memberitahu, permohonan yang dibuka semula selepas kerajaan Pas mengambil alih pemerintahan melibatkan tambahan peruntukkan sebanyak RM4.4 juta.

“Berdasarkan rekod, seramai 258,973 individu pelbagai kategori layak menerima Dana Raya melibatkan peruntukan RM64.7 juta bagi permohonan fasa pertama yang ditutup April lalu,”katanya dalam portal berita kerajaan negeri.

Kerajaan Pas memutuskan untuk membuka semula permohonan agar Aidilfitri dapat disambut dalam suasana lebih menceriakan namun bagi menampung pertambahan penerima dan mengatasi kekangan kewangan, kadar bantuan diturunkan bermula RM250.

Bagaimanapun menurut Mohd Nor, jumlah peruntukan dan penerima itu akan bertambah kerana Jawatankuasa Penilai Dana Raya masih meneliti beberapa permohonan yang ditolak untuk dinilai semula sebelum diluluskan.

“Antara kesilapan yang dikenal pasti termasuk kesilapan mengisi borang dan tidak mengepilkan dokumen,” katanya.

Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM44.3 juta kepada 177,097 orang yang pendapatan rendah; RM9.7 juta untuk 38,744 warga emas; RM 10.7 juta kepada 42,800 ibu atau bapa tunggal dan RM4.5 juta pula disediakan untuk 17,900 orang kurang upaya.

Agihan wang dana secara berperingkat itu akan disalurkan melalui bank manakala bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan baucer.

Baucer hanya boleh ditunaikan di Bank Simpanan Nasional (BSN) di dalam dan luar negeri ini bermula 11 Jun sehingga 11 September depan (tempoh sah laku). - UTUSAN ONLINE