Dia mempunyai sebab untuk merasai amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, yang membuka laluan kepadanya, bermula dengan bimbingan dan pengendalian empat sangkar pada 2007, Fauzi Idris, 43, kini mampu memiliki 60 sangkar ikan di samping dua kiosk jualan ikan sejuk beku dan salai di Sungai Gawi, Tasik Kenyir
serta di Paka.

Sebagai peserta contoh, dia bukan sahaja berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan bahkan, dapat meningkatkan taraf kehidupan yang ketara dalam tempoh hanya kira-kira 10 tahun.

"Gaji sebagai pekerja kilang cuma RM900 sebulan, dan di awal penglibatan saya mengusahakan secara berkelompok dengan peserta lain. Alhamdulillah dengan bantuan semua pihak, kini sudah ada banyak sangkar bagi menternak  baung, tilapia, lampan serta keli," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pemberian dividen kepada 40 peserta projek itu di Dataran Shahbandar sempena Ekpo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan negeri di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Zainal Abidin Mohamad. Yang hadir sama, Ketua Cawangan Akuakultur, Jabatan Perikanan negeri, Rusman Rusdi.

Projek tersebut merupakan sebahagian Projek Berimpak Besar dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Januari 2007.

Kini projek tersebut telah berjaya menghasilkan 150 tan metrik ikan pelbagai spesies dengan nilai RM4.4 juta setiap tahun.

Menurut Fauzi, hasil bantuan dan bimbingan susulan Jabatan Perikanan, dia memberanikan diri membuka kiosk jualan berikutan terdapat permintaan tinggi dalam pasaran. - UTUSAN ONLINE