Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sasaran pingat itu meliputi acara basikal, judo, takraw, silat, olahraga, menembak, memanah, boling padang, bola sepak dan angkat berat,

Katanya, dengan membawa misi untuk merampas semula kejuaraan kejohanan itu, kontinjen Terengganu turut meletakkan sasaran pungutan 28 perak dan 42 gangsa.

“Saya mengikuti perkembangan latihan atlet dan saya dapati mereka cukup bersemangat dan bertungkus lumus mempersiapkan diri untuk mencapai impian memperbaharui rekod serta catatan peribadi.

“Perkembangan baik ini saya rasa dapat merealisasikan hasrat Terengganu untuk merampas semula kejuaraan Sukma buat kali kelima,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, Terengganu pernah menjuarai Sukma sebanyak empat kali pada tahun 2008, 2010, 2011 dan 2012.

Baru-baru ini, kumpulan atlet dalam setiap acara sukan yang disertai diserahkan kepada ‘bapa angkat’ masing-masing yang terdiri daripada kalangan wakil-wakil rakyat di negeri ini selain pegawai daerah serta ketua jabatan.

Wan Sukairi berkata, menerusi dorongan serta suntikan semangat daripada ‘bapa-bapa  angkat’, Terengganu mampu membawa pulang kejuaraan dengan pungutan pingat melebihi sasaran ditetapkan. - UTUSAN ONLINE