Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian terbaik setakat ini itu sekali gus mengatasi PNGK Kebangsaan 2.80.

Katanya, seramai 47 calon mendapat semua A penuh (Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 berbanding 23 calon pada tahun sebelumnya di sam­­ping peningkatan mendadak jumlah calon yang memperoleh kesemua A (kombinasi A dan A-) iaitu melonjak daripada 77 calon kepada 118 calon bagi tahun 2018.

“Turut membanggakan apabila PNGK calon luar bandar meningkat kepada 3.01 berbanding tahun sebelumnya 2.92, manakala calon bandar pula 2.97 berbanding 2.89 (2017).

“Seramai dua pelajar di negeri ini mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A iaitu Mohamad Aizudin Mah Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut dan Nur Syahidah Hassan dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA),” kata­nya ketika pengumuman keputusan STPM 2018 peringkat negeri, di sini hari ini.

Menurut Shafruddin, seorang calon berkeperluan khas (CBK) pendengaran, Nor Hazwani Hussain dari SMK Nasiruddin Shah, Besut pula terpilih sebagai Pelajar Terbaik STPM Peringkat Kebangsaan apabila memperoleh PNGK 3.59.

Beliau memberitahu, daripada keseluruhan 2,327 pelajar yang menduduki STPM, seramai 1,268 calon iaitu 54.50 peratus memperoleh PNGK 3.0 ke atas berbanding 1,153 orang atau 47.92 peratus pada tahun sebe­lumnya.