Dalam pertandingan peringkat akhir bertemakan Lautan Kita, Masa Depan Kita, SMS Kuala Selangor berada di tempat kedua dengan Syakir Zufreyn Md. Arif@Fadilah dipilih sebagai konduktor terbaik, diikuti SMS Pasir Puteh di tempat ketiga.

Penerima hadiah sagu hati pula terdiri daripada SMS Tapah, Sekolah Seri Puteri, SMS Faris Petra, SBPI Kubang Pasu dan Sekolah Tun Fatimah.

Pertandingan melibatkan pe­nyer­taan Sekolah Berasrama Penuh (SPB) seluruh negara yang dijayakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta dirasmikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Nor Aieni Mokhtar.

Program yang julung kalinya diadakan sempena Minggu Lautan Sedunia (WOW) 2017 itu meru­pakan sebahagian daripada 36 program yang digerakkan oleh institusi pengajian tinggi tersebut.

Nor Aeini berkata, kesemua aktiviti dirangka dengan sasaran penglibatan pelbagai lapisan masyarakat bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan laut dan khazanah marin negara.

“Pertandingan Bicara Berirama berbahasa Inggeris ini bertujuan menyampaikan mesej bahawa generasi muda Malaysia turut peka dengan alam sekitar, dan bersama ambil peduli untuk memuliharanya,” ujar beliau.

Nor Aeini berkata, UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan kajian dan penyelidikan mengenai sains marin dan kelautan akan terus meningkatkan kese­daran rakyat mengenai kepentingan pengurusan sumber alam itu secara lebih lestari.

“Pemuliharaan laut ini telah menjadi satu topik yang sangat penting untuk dibincangkan, dan UMT berasa bertuah kerana ba­nyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa.

“Kita perlu menguruskannya secara mampan agar laut dan hidupan yang terdapat di dalam­nya terus mampu diwariskan pada generasi akan datang.

“Sebab itu, UMT sebagai universiti paling rapat dengan komuniti panta, berasa terpanggil untuk terus memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya.