Ketua Pegawai Eksekutif Ya­yasan Pembangunan Usahawan (YPU), Tengku Khairil A. Rahman berkata, menerusi kemudahan itu, mereka berpeluang mendapatkan dana sehingga RM100,000 dengan 50 peratus daripadanya dibiayai oleh SME Corp.

Beliau memberitahu, usaha itu dilakukan sebagai fokus untuk meningkatkan keupayaan usahawan sektor berkenaan berkaitan penjenamaan dan promosi di bawah Program Peningkatan PKS Bumiputera (BEEP).

“Ini bagi membantu menangani kos mempromosi yang tinggi iaitu kira-kira 46 peratus dalam aspek yang tidak boleh diabaikan oleh usahawan.

“Kos tinggi ini secara tidak lang­sung telah jejaskan daya ma­ju usa­hawan bumiputera. SME Corp. sediakan satu dana gerakan padanan promosi dan pemasaran, dan IKS boleh dapatkan bantuan ini (dana) di mana 50 peratus di­biayai oleh SME Corp.,” katanya.

Beliau yang mewakili Pe­nge­rusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas Sesi Rangkaian Penerima Geran BEEP Bersama Exco dan ketua Agensi di atas TTI Cruise di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah SME Corp. Terengganu, Muhammad Ibrahim; wakil-wakil agensi kerajaan serta Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Timur Utusan Melayu (M) Bhd., Ahmad Faizi Hamzah.

Beliau mengingatkan mereka agar tidak mengabaikan strategi promosi dan pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kerana aspek itu perlu bergerak selari dalam proses pengembangan.

Tengku Khairil seterusnya berharap agar kerjasama SME Corp. Terengganu yang dijalin dengan Utusan Malaysia menjadi salah satu saluran berkesan bagi memperkenalkan keluaran mereka kepada umum secara lebih meluas.

Sementara itu, Muhammad pula berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 10 syarikat akan mendapatkan kemudahan daripada dana itu tahun ini dan akan meningkat kepada 20 buah syarikat pada tahun depan.