Wakil Osem Pantai Timur yang juga Konsultan Unit Amanah, Marlina Ab. Solah berkata, leading revision apps itu dibangunkan khas bagi membolehkan murid dan pelajar dari tahun satu hingga tingkatan lima dapat belajar dan mengulang kaji pelajaran menerusi telefon pintar dan peranti lain.

Katanya, aplikasi Osem dicipta dua panel penyelidik, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama syarikat Think Osem Sdn. Bhd. sebelum syarikat itu melancarkan secara rasmi aplikasi berkenaan.

“Tujuan kita perkenalkan Osem ini untuk menawan hati murid dan pelajar supaya mengikuti pembelajaran kerana mereka kini boleh belajar menerusi aplikasi Osem.

“Kita mahu ubah budaya belajar sekarang kerana biasanya ibu bapa paksa anak-anak belajar tetapi dengan adanya aplikasi ini, anak-anak teruja dan seronok belajar apabila guna aplikasi ini,” katanya selepas pelancaran Program Osem Next Biggest Edu­cation Technology di sekolah itu di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Kerteh, Mohd. Azman Musa dan kira-kira 100 guru yang diberikan penerangan lanjut mengenai Osem.

Marlina berkata, aplikasi Osem mula diperkenalkan pada Januari 2017 dan ia ditambah baik sehingga sekarang yang menyediakan kemudahan pem­belajaran merangkumi semua subjek dari tahun satu sehingga tingkatan lima.

Katanya, hasil kajian yang dilakukan setakat ini mendapati sebanyak 95 peratus murid dan pelajar menunjukkan peningkatan prestasi pembelajaran setelah menggunakan Osem.

“Pihak kami kini dalam proses menjelajah sekolah seluruh Malaysia untuk memperkenal dan memasarkan aplikasi ini seterusnya memberi kesedaran kepada ibu bapa bagaimana cara untuk membolehkan anak belajar dengan medium sedia ada iaitu gajet atau peranti pintar,” katanya.