Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, antara lain dengan bayaran yuran cuma RM10 sebulan, mereka berpeluang mendapat ganjaran sehingga RM70,000 melalui 16 insentif yang dirangka dalam aspek kebajikan bagi meringankan bebanan urusan kehidupan di samping turut membantu yang lain.

Beliau memberitahu, pada masa ini, YGMB mempunyai keah­lian 100,000 orang yang dianggap masih rendah jika diban­dingkan dengan jumlah kesemua warga pendidik di seluruh negara iaitu seramai 430,000 orang.

Wan Munadi menyatakan terkilan dengan ramai guru yang ditimpa bencana termasuk banjir namun mereka tidak dapat manfaat yang disediakan YGMB di­sebabkan tidak mendaftar.

“Sebab itulah kita amat mengga­lakkan guru-guru yang baharu berkhidmat dan masih belum mendaftar dengan YGMB supaya berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampai­an Sumbangan Banjir Guru-Guru Negeri Terengganu di sini hari ini.

YGMB menghulurkan sum­bang­an kepada 12 guru yang menjadi mangsa banjir dengan setiap seorang menerima RM500 manakala RM1.000 kepada waris seorang guru, Masni Ngah yang maut setelah terperangkap dalam keretanya yang dihanyutkan arus.

Wan Munadi seterusnya berkata, bagi menambah jumlah keahlian YGMB, pelbagai usaha proaktif dilakukan termasuk memfokuskan kepada golongan guru muda berusia 40 tahun ke bawah menerusi program Guru Muda 1Malaysia (GM1M).

Beliau menarik perhatian, Perak mencatat jumlah ahli ter­tinggi iaitu 12,000 orang diikuti Sarawak (10,000 orang), Selangor (9,000 orang) dan Terengganu (8,000 orang).

Mengenai jumlah bantuan bencana banjir, jelas beliau, YGMB menyumbang RM1.2 juta kepada ahli yayasan berkenaan pada 2015 sebelum sedikit menurun pada tahun lalu manakala bagi tahun ini, pihaknya masih dalam proses mendapatkan data lengkap.

Sementara itu suami Allahyarham Masni, Ahmad Ruzaizi Mahmood terharu dengan keprihatian YGMB yang turut menghulurkan sumbangan walaupun tidak menjadi ahli.

Bapa kepada enam anak berusia 7 hingga 18 tahun itu yang juga seorang guru mengakui terkejut setelah dimaklumkan mengenai sumbangan daripada yayasan berkenaan.