Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, usa­ha itu akan digerakkan menerusi kerjasama Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) bagi memastikan nilai warisan tradisional Terengganu diserap di peringkat sekolah agar terus kekal dan tidak pupus ditelan zaman.

Menurutnya, bermula tahun depan, sekolah-sekolah akan diberi tempoh tiga bulan untuk membuat persediaan dengan setiap sekolah diwajibkan menguasai warisan sama ada tarian, pakaian dan makanan selain dijadikan koleksi untuk dipersembahkan pada sambutan Hari Guru.

“Usaha ini akan dijadikan projek JPNT (Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu) untuk memperkasakan beberapa perkara bagi memastikan setiap sekolah mempunyai identiti tarian, pakaian atau tariannya sendiri.

“Sebagai contoh, kita akan wajibkan sebuah sekolah kuasai tarian, manakala sekolah lain kuasai pakaian dan makanan. Pada masa ini terdapat 503 buah sekolah di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival SawaTesdec dan Mencipta Rekod Malaysia Largest Participation In A Poetry Recitation Event di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa dekat sini, baru-baru ini.

Jelasnya, jenis tarian tradisional antaranya waimang landok, rodat, tarian balai, ulek mayang, menora dan sebagainya dengan memastikan masing-masing bebas daripada sebarang unsur spiritisme.

Beliau menambah, pakaian tradisional pula meliputi songket dan batik manakala bagi makanan merangkumi pelbagai jenis juadah tradisional Terengganu yang sememangnya menjadi tarikan unik.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 2,536 pelajar sekolah sekitar daerah ini, Kuala Terengganu dan Dungun melakar sejarah tersendiri apabila mendeklamasi sajak secara se­rentak sekali gus tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) berdasarkan penyertaan paling ramai.