Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr.Alias Razak berkata, langkah itu bukan sahaja membantu menambah pendapatan atau menjadi sumber makanan berkhasiat buat keluarga malah secara tidak langsung turut membantu mewujudkan persekitaran kediaman lebih kondusif.

“Buat permulaan kita boleh sasarkan setiap rumah anggota MPKK mempunyai sebuah sarang kelulut untuk mendapatkan madu. Jika berjaya, ia boleh dijadikan contoh untuk dikembangkan ke DUN lain di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bengkel pemeliharaan kelulut di Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini hari ini.

Seramai 50 orang peserta daripada 25 MPKK dalam DUN Bukit Tunggal menyertai bengkel itu. Yang turut hadir, Pengarah Mardi Terengganu, Fadzli Rahimi Ismail.

Menurutnya, setiap sarang kelulut yang boleh disediakan dengan kos dianggarkan RM400, boleh menghasilkan sebanyak kira-kira 500 milimeter madu dengan nilaian lebih RM100.

“Jika 10 sarang dijaga dengan baik, ia boleh menghasilkan 5 liter madu kelulut dengan purata pendapatan RM750 sebulan. Dengan adanya usaha pemeliharaan kelulut itu, kawasan rumah terjaga kebersihan dan keindahannya.

Menurut beliau, untuk memelihara kelulut, sekitar kawasan kediaman mesti ditanam dengan pokok-pokok bunga di samping tidak dilakukan pembakaran terbuka bagi menghindar kelulut daripada meninggalkan sarangnya. - UTUSAN ONLINE