Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Bomba Sukarela Dan Bantuan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Negeri, Azmi Omar berkata, peningkatan itu membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan segera apabila berlaku bencana di mana sahaja.

“Setakat ini sudah terdapat 18 PBS di Terengganu dengan kekuatan 380 orang dan merupakan satu cara terbaik untuk membantu jabatan bomba untuk lebih dinamik.

“Terkini, kita mendapat permohonan daripada Felda Tenang di Besut untuk menubuhkan PBS yang sudah dalam proses Pendaftar Pertubuhan (ROS) manakala satu lagi dari Mercang yang masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita dalam kunjungan ke balai bomba sementara PBS Felda Bukit Bading,di sini hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut meninjau tapak bangunan balai bomba kekal untuk PBS Felda Bukit Bading yang akan memulakan proses pembinaannya tidak lama lagi.

Azmi berkata, pembinaan balai bomba kekal itu merupakan yang kedua di negeri ini bagi PBS selepas PBS Sri Nerus dan pertama bagi kategori Felda dalam negeri.

“Bagi PBS yang inginkan kemudahan bangunan seperti ini dan bagaimana caranya boleh berbincang dengan pihak kami kerana bagi kami ini adalah mercu tanda bagi PBS untuk meningkatkan lagi peranan mereka dalam membantu bomba.

“Dengan cara ini juga, kita boleh menggalakkan lebih ramai menyertai PBS dengan khidmat lebih berkesan selain memudahkan pemantauan dan kawal selia pihak bomba,” katanya. - UTUSAN ONLINE