Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Marzialina Mohamed berkata, penglibatan pelajar-pelajar sekolah itu secara tidak langsung dapat menggalakkan generasi mu­da untuk lebih dekat dengan al-Quran apabila meluangkan ma­­sa selama satu jam membaca, memahami serta menghayati kitab suci ini, di samping mengadakan interaksi mengenainya.

“JPNT telah memaklumkan kepada semua sekolah untuk terlibat dalam program ini, manakala bagi sekolah agama kerajaan negeri pula diuruskan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Di lokasi utama di PPAT pe­n­yertaan membabitkan kira-kira 250 orang yang sebahagian besarnya pelajar sekolah dan kolej di sekitar daerah ini serta Kuala Nerus, di samping kakitangan PPAT sendiri,” katanya selepas program itu di Dewan Tea­ter PPAT di sini semalam.

Menurut Marzialina, sebanyak tujuh buah sekolah terlibat iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin Ladang, SMA Khairiah, SMKA Sheikh Abdul Malek, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Imtiaz Kuala Nerus, SMKA Dato Abas, Tok Ji­ring dan Institut Al-Quran Terengganu (IQT).

Katanya, tahun lalu Terengganu merupakan antara negeri tertinggi dengan jumlah pen­yertaan seramai 250,000 orang, justeru tahun ini pihaknya menyasarkan peningkatan berban­ding angka yang direkodkan itu.

Sementara itu, program sama di Hotel Permai di sini disertai lebih 200 peserta, antaranya pelajar Sekolah Menengah (Atas) Agama Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, di samping kaki­tangan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), ahli Persatuan Hotel Terengganu serta masyarakat setempat.

Acara di lokasi itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat lazim dan sesi tazkirah oleh pence­ramah jemputan sebelum pengagihan kuih nekbat oleh pengurusan hotel selepas tamat pro­gram.

Malaysia#QuranHour di Te­rengganu turut diadakan di ibu pejabat Akademi Raudhah Genius di Dataran Austin.