Tiga pelajar tersebut terdiri daripada Nik Nurasilah Nik Aziz, Najah Bahrin Shah dan Muhammad Amar Haqim Ramli dengan masing-masing berusia 15 tahun bakal diuji dalam pertandingan berlangsung selama tiga hari bersaing dengan pelajar-pelajar daripada negara-negara maju.

Pelajar tersebut dipilih ke Korea Selatan selepas cemerlang menduduki tempat pertama dalam saringan penulisan esei mengenai keselamatan di lapangan terbang yang dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia).

Pencapaian tersebut bakal melonjakkan nama Sahut di persada antarabangsa selain mengharumkan nama Malaysia.

Guru pembimbing, Ahmad Ridhuan Azman berkata, program yang dijalankan di peringkat negara dan antarabangsa itu bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepenggunaan standard terutama dalam kegiatan industri dan kepentingannya.

“Dalam erti kata lain, ia memberi peluang kepada pelajar untuk mereka cipta sesuatu inovasi yang mampu digunakan secara global dan menyeluruh.

“Penyertaan bagi pertandi­ngan ini ditaja oleh pihak Korean Agency For Technology and Standards (KATS) yang me­ngelolakan pertandingan ini di peringkat antarabangsa mulai 2015,” katanya di sini yang turut dihadiri Pengetua Sahut, Mohd. Khairi Muda.

Pertandingan bertujuan memupuk kesedaran meluas di ka­langan pelajar peringkat menengah di seluruh dunia dunia mengenai standard dan sumbangan terhadap kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

Salah seorang peserta, Najah ketika ditemui semalam menyatakan rasa teruja untuk berlepas ke Korea Selatan mewakili negara dan telah bersiap untuk menghadapi persaingan.

“Bagi saya, kejayaan ini bukan sahaja membawa nama Malaysia malah negeri dan sekolah ke persada lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi pelajar sekolah itu juga turut terpilih mewakili negara ke program Kennedy Lugar Youth Exchange and Study di Amerika Syarikat (AS) awal Januari tahun depan.

Mereka terdiri daripada Alia Shahirah Shamsuddin, Che Ku Nur Umairah Che Ku Mohd. Marzuki dan Abdul Musdalif Mohd. Bukhori.