Datuk Bandar, Datuk Mohd Kamil Othman berkata, langkah tersebut perlu ekoran percambahan gerai perniagaan makanan harga rendah itu semakin ketara sehingga berselerak di mana sahaja.

Menurut beliau gerai-gerai yang wujud dalam keadaan tidak terurus boleh menimbulkan masalah dari segi penempatan, lalu-lintas dan aspek kebersihan.

"Buat permulaan, dua kawasan telah dikenal pasti iaitu di Jalan Cerung Lanjut (kawasan letak kereta hadapan TNB) dan Batu Buruk (bersebelahan padang lawn ball) dengan konsep jualan secara bungkus dan bukannya makan di situ.

“Mereka juga akan dikenakan lesen sebagaimana kepada peniaga kedai makan lain serta perlu menjalani suntikan kesihatan bagi menjamin tahap kualiti makanan yang dijual,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog sempena ‘Town Hall’ dan Hari Bertemu Pelanggan MBKT di Dewan Sivik Pasir Panjang, di sini, baru-baru ini.

Dalam majlid itu beliau memperkenalkan barisan Ahli Majlis MBKT kepada orang ramai bagi kemudahan mereka berurusan kelak.

Namun siri program ‘turun padang’ pada hari itu untuk mendengarkan permasalahan penduduk dan pembentangan laporan pembangunan MKBT kepada umum tidak mencapai matlamat apabila jumlah kehadiran penduduk setempat terlalu kecil.

Datuk Bandar berkata, beliau agak terkilan dengan sambutan yang tidak memberangsangkan sedangkan program itu digerakkan bagi kepentingan mereka.

Katanya, program yang diadakan sekurang-kurang empat kali setahun itu di beberapa kawasan sasaran sebelum ini mendapat sambutan cukup positif.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembinaan semula Kompleks Pasar Payang, beliau memberitahu, MBKT akan mengeluarkan tender pada tahun ini selepas menerima peruntukan RM76 juta daripada Kerajaan Pusat.

Katanya, mengikut perancangan, projek yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu di­jangka siap pada tahun 2018.