Daripada jumlah itu, sembilan individu yang dikenakan dikompaun adalah peniaga kera­na menjual rokok pada harga runcit yang tidak mendapat kelulusan dan penjualan di bawah harga ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, Ops Runcit itu tertumpu di kawasan pedalaman di daerah ini yang jarang dimasuki iaitu di Felda Neram, Cheneh, Air Putih, Sungai Mas, Padang Kubu, Cherul, Perasing dan Seri Bandi.

Katanya, dengan kekuatan tujuh anggota penguat kuasa kesihatan yang diketuai Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Wan Mohd. Suhaimi Ahmad operasi itu berjaya membongkar taktik peniaga menjual rokok pada harga seren­dah RM4.50 hingga RM7.00 sekotak, antaranya berjenama Concept, Gudang Garam, U2 dan Speed.

“Penjualan rokok ini mendapat permintaan yang sangat tinggi di kawasan pedalaman kerana mudah didapati dan harganya yang jauh lebih murah.

“Kita turut menahan tiga pelajar sekolah kerana memiliki serta menghisap rokok dan hasil soal siasat mendapati mereka membeli rokok berkenaan di beberapa buah kedai runcit serta kios terdekat. Penjualan rokok dalam paket yang telah dibuka dan rokok di bawah harga minimum yang rata-rata berharga rendah membolehkan golongan ini mampu membelinya terma­suk sasaran penduduk kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Mohd. Anuar, sebanyak 69 kotak rokok bernilai RM395.50 telah disita dalam operasi itu sebagai barang kes pendakwaan.

Katanya, kesemua kesalahan adalah di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang melibatkan tiga kesa­lahan di bawah peraturan 8C(1) iaitu menjual rokok di bawah harga minimum RM10.00; lima kesalahan di bawah peraturan 9(1) menjual rokok dalam paket yang dibuka; satu kesalahan di bawah peraturan 14(1) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan jualan hasil tembakau kepada orang belum dewasa dan satu kesalahan di bawah peraturan 13(1) iaitu orang belum dewasa merokok atau memiliki apa-apa hasil tembakau.

Mohd. Anuar menarik perhatian, peningkatan perokok terutama dalam kalangan bawah umur perlu dibendung dengan memberi tindakan tegas kepada peniaga.