Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar tersebut berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan 10 peratus dan lima peratus hancur.

Katanya, individu yang menggunakan beras dari jenis Super Import pula, kadar bayaran adalah bersamaan dengan nilai 2.6 kilogram (kg) beras terbabit.

“Bagaimanapun pembayaran zakat fitrah bagi negeri ini pada tahun ini ditetapkan dengan wang tunai sahaja berbanding sebelum ini turut menerima beras,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Mohd Rozi Bidin.

Sehubungan dengan itu orang ramai boleh membuat pembayaran zakat fitrah melalui kaunter Maidam mulai pukul 8.30 pagi hingga 4 petang termasuk kaunter Maidam di UTC yang turut dibuka tujuh hari seminggu bermula 1 Ramadan ini.

Umat Islam juga boleh membayar melalui 1,038 amil yang ditempatkan di masjid dan surau di seluruh negeri.

Dalam majlis itu Maidam turut menerima zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu yang berjumlah RM161,282.35 yang disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Terengganu, Mohd Rashdi Ab Hamid @ Aziz.

Menurut Mohd Rashdi, TNB negeri telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM17.7 juta kepada Maidam sejak 1996 sehingga kini.

Terdahulu, Yang Dipertua Maidam turut menyumbangkan wang zakat berjumlah RM1.1 juta kepada 10 pertubuhan yang menguruskan pusat pemulihan dadah, anak yatim, orang tua dan orang kelainan upaya. - UTUSAN ONLINE