Pengerusi Jawatan­kuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang berkata, peruntukan itu menca­tatkan jumlah peruntukan terbesar dan bila­ngan terbanyak penerima bantuan sejak dana itu diperkenalkan.

“Peningkatan kira-kira RM3 juta itu berbanding sesi 2017 merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persediaan setiap kali tibanya tahun baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, sejumlah RM10.9 juta diperuntukkan untuk 109,880 pelajar bagi sesi persekolahan tahun sebelumnya manakala RM10.4 juta (2016), RM10.1 juta (2015) dan RM9.4 juta (2014).

“Kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan bantuan kewa­ngan sebanyak RM100 ini kepada keluarga berpendapatan RM2,500 ke bawah berbanding RM2,000 sebelum ini dengan maksimum dua pelajar setiap keluarga agar lebih ramai berpe­luang mendapatkannya.

“Kali ini kita memperkenalkan kaedah per­­mohonan bantuan secara dalam talian bagi memudahkan ibu bapa apabila hanya perlu membuat pendaftaran di portal rasmi, http://danattb.terengganu.gov.my,” katanya.

Menurutnya, permohonan da­lam talian akan dibuka mulai lusa hingga akhir bulan ini, dan berharap anggota masyarakat turut membantu menyebar-luaskan mak­­lumat mengenainya termasuk kepada anak negeri yang berada di luar Terengganu agar tidak kalangan yang layak tidak tercicir.

Katanya, proses saringan pelajar akan dibuat oleh pihak jawatankuasa di peringkat pejabat daerah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelakkan sebarang ketirisan.

"Permohonan dalam talian akan dipantau melalui sistem bagi membolehkan kita mengesan pelajar yang layak sahaja yang berhak memohon dan diberi pertimbangan untuk kelulusan dana,” katanya.

A. Latiff berkata, agihan bantuan secara tunai kepada kesemua pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun yang layak itu akan dibuat pada Disember nanti bagi pembelian pakaian sekolah.