Pegawai Daerah, Rosdi Awang berkata, di samping itu, selain peranan jabatan dan agensi kerajaan serta media, mereka juga harus bersama-sama berperanan memperkenalkan daerah ini yang mempunyai tarikan tersendiri termasuk keindahan dan keunikan alamnya.

“Ramai pelancong hanya mengenali Setiu sebagai transit untuk ke Pulau Redang dan pulau-pulau lain di sekitarnya. Ia tidak menguntungkan kita selaku penduduk dan juga daerah ini.

“Jadi, kita perlu memainkan peranan dengan cara masing-masing supaya mereka juga tertarik menghabiskan masa lebih lama di sini,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Santai Perpaduan di Restoran Ombak Pantai, Pantai Penarik dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu, Burhanuddin Daud; Pegawai Perpaduan Daerah, Akhwan Hafiz Akmal Hidzri dan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris.

Beliau juga memaklumkan akan menaik taraf jeti Merang sebagai jeti utama daerah selain beberapa projek akan dibangunkan antaranya di Pulau Besar dan cadangan mewujudkan restoran dan chalet terapung bagi merancakkan ekonomi masyarakat di sini.

“Setiu perlu bertindak selaras dengan aspirasi Transformasi Terengganu Baharu (TTB)yang mahu kita meningkatkan sumber hasil melalui pelancongan sebagai sumber ekonomi baharu negeri,” katanya.

“Setiu yang mempunyai lebih 60,000 penduduk merupakan salah satu daerah yang akan turut menerima jajaran Rel Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Dijangkakan, projek baharu itu akan melonjakkan ekonomi setempat kelak,” ujarnya.