Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan  Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah  berkata, langkah itu dapat memberi peluang dan kemudahan lebih luas kepada golongan cacat penglihatan untuk mengikuti pengajiaan al- Quran.

Katanya, pada masa ini hanya sebuah pusat berkenaan yang ada iaitu di Seberang Takir,  di sini yang ditubuhkan pada 2007 di bawah kendalian Pertis.

Menurut beliau, sehingga kini  terdapat 60 pelajar cacat penglihatan dengan lapan tenaga pengajar dari seluruh negeri  sedang mengikuti pengajian  al-Quran Braille di situ setiap Ahad, Isnin dan Selasa selama tiga jam.

Beliau berkata,  wujudnya Pusat Pengajian alQuran Braille di setiap daerah itu memberi peluang  kepada golongan berkenaan untuk mengikuti kelas pengajian di daerah masing-masing dan tidak perlu lagi datang di Kuala Nerus yang menuntut kos untuk pengangkutan dan penginapan.

“Secara tidak langsung juga akan memberi peluang lebih ramai golongan berkenaan dapat mendalami al-Quran kerana masalah jauh tidak lagi menjadi halangan.

“Bagi mempercepatkan proses mewujudkan pusat berkenaan, kerajaan negeri akan mendapatkan premis milik Yayasan Islam Terengganu dan balai raya untuk dijadikan pusat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke  Pusat Pengajian al-Quran Braille, Pertis di Seberang Takir, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Pertis, Mohd Fauzi Mansor.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjsama dengan Pertis untuk memastikan pusat pengaiian itu dapat dilaksanakan dengan segera termasuk dalam menentukan tenaga pengajar.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan ruang niaga kepada golongan OKU untuk menjalankan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Katanya, kerajaan negeri telah berbincang  dengan Yayasan Pembangunan Usahawan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Majlis Daerah supaya memperuntukkan kuota sekurang-kurang 10 peratus kepada OKU apabila agensi berkenaan membina bangunan baru.

Katanya, dengan cara itu, golongan OKU dapat menjalankan perniagaan berasaskan kemahiran mereka bagi menambah pendapatan keluarga dan tidak mengharap kepada bantuan semata-mata.-UTUSAN ONLINE