Terletak di Laut China Selatan dengan keluasan 21.33 kilometer persegi, pulau yang namanya merujuk kepada pokok kapas itu dilihat mampu menjadi destinasi pelancongan ‘wajib singgah’ dan bertaraf antarabangsa.

Tempoh perjalanan ke pulau itu hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit dari jeti Marang.

Namun di sebalik semua keindahan semula jadi, tidak dinafikan pulau itu memerlukan pemantapan dari sudut infrastruktur dan diberikan nafas baharu bagi menampung keperluan lebih ramai pelancong.

Dalam menuju ke arah pembangunan industri pelanco­ngan, kerajaan negeri disaran bertindak sebelum pulau yang pernah diletakkan sebagai pa­ling popular di Terengganu itu terkebelakang dari sudut persaingan dengan pulau lain.

Tinjauan ke Pulau Kapas mendapati ada beberapa kerosakan pada bahagian jeti, infrastruktur pertama digunakan pengunjung yang wajar menjadi tanda ‘isyarat’ terbaik serta menarik di mata mereka yang berhasrat meneroka kawasan yang terkenal dengan lambakan ikan ‘nemo’ itu.

Seorang pengunjung, Hanum Razak, 50, berkata, dia pernah ke pulau berkenaan seba­nyak dua kali sebelum ini yang pertama pada 2015 dan mendapati keadaan infrastrukturnya tidak banyak berubah dengan memberi contoh bahagian atap jeti yang telah rosak.

“Tangga di situ juga ada sudah tidak boleh dipijak kerana hakisan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, kemudahan tandas juga perlu disediakan di lokasi yang lebih dekat dengan pesisir pantai.

Hanum berkata, keterujaan untuk singgah di Pulau Kapas adalah kerana faktor alam semula jadi yang memikat hati dan jarak lebih dekat dari ta­nah besar berbanding Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Pengusaha pusat peranginan, Hawa Abdul Rahman pula berkata, pelanggannya termasuk pelancong asing ada yang menganggap Pulau Kapas bagaikan rumah kedua mereka.

Katanya, ini menunjukkan Pulau Kapas berjaya memikat hati pelancong dan bukannya sekadar lokasi persinggahan bermusim.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi lebih tumpuan dalam soal infrastruktur di sini bagi merancakkan sektor pelancongan termasuk kemudahan seperti tandas dan surau,” katanya selain mahu melihat usaha mempromosi Pulau Kapas diperhebat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, beliau me­ngakui masalah dan cabaran yang dibangkitkan perlu diselesaikan dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata, antara perkara yang menuntut perhatian segera ialah pembaikan jeti, penambahan tong sampah, sistem solar dan pembinaan longkang lebih teratur.

“Pertemuan melibatkan pi­hak pengusaha chalet di pulau ini dan wakil kerajaan negeri akan diatur bagi menyelesaikan masalah berbangkit tidak lama lagi,” katanya. – BERNAMA