Majlis itu berlangsung di Balairaya Felda Cerul 1 yang disempurnakan oleh Eksekutif Projek PTCSB, Sani Yusof yang mewakili Pengurus Besar PTCSB, Mohd. Shamsol Mohd. Shafie.

Antara kampung yang terbabit dalam program itu ialah Felda Cherul 1, Felda Cerul 2 dan Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam dekat sini.

Berucap pada majlis itu, Sani berkata, setiap tahun, PTCSB yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri sentiasa memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk keperluan.

“Ia bukan sahaja pakaian sekolah malah peralatan lain yang difikirkan perlu untuk masyarakat dan baru-baru ini kita telah menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Cerul untuk mengadakan aktiviti,” katanya.

Yang turut hadir, wakil pengurusan Golden Pharos Berhad, Ahmad Fauzan Abdul Kadir; Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Persama, Nik Nur Hafizi Nik Zulkarnain; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Cerul 1, Ghazali Khazani dan Pengerusi MPKK Felda Cerul 2, Mat Zaid Jusoh.

Sani memberitahu, tahun lalu PTCSB turut membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM45,000 untuk kakitangannya agar mereka berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa.

Mengenai FSC, Sani berkata, ia merupakan badan persijilan majlis pengurusan hutan antarabangsa yang ditubuh di Jerman pada tahun 1993, di mana PTCSB mendapat pengiktirafan FSC sejak 2009 hingga sekarang.

Pada masa ini, ujar beliau, hanya dua syarikat di Malaysia iaitu PTCSB dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn. Bhd. (KPKKT) yang mendapat sijil pengiktirafan tersebut.

“Prinsip dan kriteria FSC bertujuan menerangkan bagaimana hutan perlu diuruskan untuk memenuhi keperluan sosial, keperluan ekonomi, ekologi, kebudayaan dan kerohanian generasi sekarang dan akan datang selain aspek pengurusan serta keperluan alam sekitar dan sosial,” katanya. - UTUSAN ONLINE