Projek dalam dua fasa itu me­rangkumi pembinaan 425 unit kediaman berkonsepkan ‘Felda Laut’ iaitu skim yang mirip de­ngan konsep Felda, khusus untuk golongan nelayan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Ah­mad Razif Abdul Rahman berkata, projek untuk membantu rakyat miskin terutama golo­ngan nelayan sekitar Kuala Nerus itu dibangunkan oleh kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menyifatkannya sebagai satu lagi 'cerita kejayaan' Terengganu, beliau memberitahu, untuk fasa pertama yang dijangka mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini ialah berjumlah 200 unit yang membabitkan kos sebanyak RM32 juta.

“Untuk fasa pertama hari ini kita lancarkan projek rumah 200 unit untuk peserta dan dijangka dapat menampung 452 peserta terutama yang miskin dan yang tidak ada rumah. Kita nak bantu mereka mengubah kehidupan.

“Projek perintis ini sekiranya berjaya akan dijadikan model oleh ECER untuk dilaksanakan di selurus negara,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran projek itu.

Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Menurut Ahmad Razif, selain pembinaan rumah, fasa kedua pula akan turut melibatkan pembinaan prasarana termasuk jalan, jambatan, jeti, tempat pemerosesan hasil laut, bazar selain restoran dan premis perhotelan.

Katanya, di samping membantu golongan nelayan, projek berkenaan juga mampu menjana ekonomi serta memberi impak positif kepada sektor pelancongan memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan jambatan gantung (draw bridge) yang sedang dalam pembinaan.

Beliau memberitahu, projek perumahan AKN itu juga merupakan cetusan idea bekas Menteri Besar pertama, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri lebih 50 tahun yang lampau.

“Kita jangka dalam seminggu dua ini akan melantik kontraktor. Setiap seunit yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu akan dijual pada harga RM68,000 selepas disubsidikan oleh kerajaan berbanding harga sebenar sekitar RM300,000,” ujarnya.