Projek yang dinantikan sekian lama, salah satu prasarana yang menjadi pelengkap ciri lazim sebuah bandar telah dimulakan pada Oktober tahun lalu dengan kos hampir RM2 juta yang terletak bersebelahan masjid daerah ini.

Pegawai Penyelaras UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku memberitahu, projek pembinaan stesen bas daerah ini merupakan projek di bawah kerajaan negeri dengan mendapat bantuan kewangan kerajaan Persekutuan.

“Pebelanjaan mencecah RM2 juta itu melibatkan tebus semula tanah paya, terminal bas, enam kaunter tiket, enam unit premis niaga dan kiosk jualan. Sebenar­nya projek ini sudah lama dirancang, tetapi seringkali tertangguh ekoran masalah kewangan.

“Bagaimanapun demi kepen­tingan orang ramai khususnya me­reka yang menggu­nakan per­khidmatan bas ek­spres dan henti-henti, kita mengusahakannya agar menjadi kenyataan,” katanya.

Nik Dir yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang memberitahu demikian ketika ditemui pada program Gunting Rambut Percuma - Bojeng Jetat di kedai gunting Pak Awang berhampiran Jeti Pelancongan Marang, di sini.

Program anjuran Penyelaras DUN Rhu Rendang yang bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang semalam memberi peluang kepada seramai 133 penduduk sekitar untuk bergunting secara percuma, dan akan diterukan pada 23 Mac, khusus kepada pelajar sekolah pula.

Menurut Nik Dir, pembinaan stesen bas daerah merupakan satu lagi komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat di daerah dan juga pelancong ­asing yang ramai berkunjung ke daerah ini terutama pada setiap cuti hujung minggu.

“Kita berharap apabila stesen bas ini beroperasi kelak, ia mampu membantu menghidupkan lagi suasana bandar ini sekali gus dapat membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.