IDRIS ABD. RAFAR

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar ber­kata, kumpulan penagih itu yang dikatakan aktif sejak Mac lalu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes daripada 18 kes yang dilaporkan di kawasan berkenaan sejak Januari lalu.

Menurutnya, ini termasuk kenderaan pacuan empat roda milik bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah yang bersara dua tahun lalu.

“Ketiga-tiga suspek dalam lingkungan usia 28 hingga 40 tahun dikesan dalam keadaan mencu­rigakan di dalam sebuah kereta di kawasan tempat kenderaan Masjid Bukit Besar di sini pada pukul 5 pagi, 5 Julai lalu,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Idris memberitahu, turut ditemukan di dalam kereta itu ialah barang-barang kes berkaitan dengan kes pecah kereta seperti serangkai anak kunci kereta Mercedes-Benz dan kunci rumah, beg yang me­ngandungi buku agama, sarung tangan dan sebatang besi.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh daripada lelaki itu, kita menahan seorang lagi lelaki ber­usia 36 tahun kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di Kampung Pantai Ali Bukit Payong, Marang.

“Hasil pendedahan yang dibuat oleh ketiga-tiga suspek, anggota polis telah membuat rampasan barang di dua lokasi yang berasingan iaitu di sebuah rumah di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar dan Lorong Dua, Bandar Baharu Pulau Kambing di sini,” katanya.

Idris menambah, barangan yang dirampas didapati mempu­nyai kaitan dengan lima kes pecah kereta yang dilaporkan seperti beg, kitab, buku-buku agama, seke­ping pas keselamatan dan sebuah buku berwarna oren/hitam, kain sembahyang wanita, telekung dan sebagainya.

Jelasnya, mereka menyasarkan kereta yang diletakkan berhampiran masjid antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi dengan memecah cermin kereta mangsa menggunakan serpihan plag motosikal.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.