Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, badan politik sebagai penentu hala tuju negeri, perancang program dan pemantau manakala kuasa ekonomi bertanggungjawab terhadap penentuan syarikat pelaksana.

Katanya, Pitas 2030 yang di­rangka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 oleh kalangan pakar anak negeri sebagai persediaan Pas mengambil alih pemerintahan bagi mencorak pembangunan lebih terancang dan memberikan faedah meluas kepada rakyat.

“Pelan ini dirangka berteraskan lapan sasaran pencapaian penting dalam lima bidang fokus utama membabitkan tujuh prinsip menjadikan Terengganu Sejahtera pada tahun 2030,” ujarnya

Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Iftar Terengganu Inc. Sdn. Bhd. Bersama Menteri Besar di Permai Hotel di sini malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Ne­geri, Datuk Abdul Rahman Yahaya.

Ahmad Samsuri menjelaskan, tujuh prinsip terma­suklah pematuhan kepada prinsip Islam; insan berkualiti aset terpenting negeri; kekayaan dan hasil tempatan untuk rakyat; pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan dan masyarakat.

“Juga pembangunan lestari mencakupi tiga elemen utama­nya iaitu alam sekitar, masyarakat dan ekonomi yang berteraskan Islam di samping kerajaan negeri sebagai pemandu, pemudah cara dan pemantau kepada swasta dan rakyat dalam menjayakan pelan pembangunan negeri,” ujar beliau.

Pitas 2030 menyasarkan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030 namun Utusan Malaysia difahamkan untuk jangka masa pendek, pelan penjanaan pendapatan kerajaan negeri dirangka bagi menjayakan kesemua manifesto Pas.

Selain itu juga meneroka peluang-peluang pendapatan baharu dengan memanfaatkan segala sumber baharu yang boleh ditawarkan untuk rakyat terutama dalam sektor pelancongan, pertanian dan hasil galian.

Potensi yang besar itu akan digerakkan bagi mengurangkan pergantungan kepada hasil petroluem sekali gus dapat dimanfaat secara optimum bagi menjana pendapatan negeri untuk kesenangan rakyat.