Mengetengahkan sketsa Jejak Pahlawan – Orang Kaya Semantan, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, plak dan sijil setelah berjaya mengenepikan dua kumpulan lain.

Kumpulan yang dianggotai oleh Muhammad Arif Azmi, Muhammad Khairil Amin Muhammad Apenedi dan Siti Nur Aisyah Sit mengisahkan perjuangan seorang pahlawan Pahang bagi menuntut kemerdekaan dan menentang pihak British.

Sketsa Tok Ku Paloh pula membolehkan Kumpulan Seni Anak Trang Ganu yang dianggotai oleh Mohd Nur Izzat Mohd Idris, Khalid Abdul Walid Ahmad dan Mohd Kharudin Hanippah menduduki tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM2,000.

Mereka mempersembahkan sketsa mengenai perjuangan seorang tokoh ulama menegakkan agama Islam pada zaman pemerintahan British.

Sementara itu, kumpulan Aspirasi Penglipur IPG menerima hadiah sagu hati sebanyak RM1,000, sijil dan plak.

Kumpulan yang disertai oleh tiga penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail iaitu Muhammad Amirludin Azman, Ney Wei Wen dan Kavitha a/p Chandra Sekaran mempersembahkan sketsa Gelanggang 92 – Penyatuan Bangsa yang mengisahkan jaguh badminton negara yang menjuarai Piala Thomas pada tahun 1992.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Penolong Kanan Pegawai Daerah Marang, Mohd Huzir Mohamed.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Samsudin Daud dan Pengarah ILP L Marang, Hamizatul Azura Hamzah.

Dalam majlis itu, penonton turut dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh Kumpulan Buskers Roar.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan negeri bertujuan menggalakkan masyarakat menyampaikan pandangan serta pendapat mereka mengenai peristiwa bersejarah sebagai usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan bagi proses pembinaan negara dan jati diri bangsa. - UTUSAN ONLINE