Pengerusinya, Tan Sri Sidek Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6 juta digunakan untuk menaik taraf fasiliti di tanah bencah berkenaan termasuk sebuah jeti nelayan di Kampung Gong Batu dan empat jeti terapung dari Kampung Mangkok ke Gong Batu.

Katanya, selain itu, sebuah jeti pelancong dan sebuah Pusat Penerangan Mini di Kampung Mangkok yang dilengkapi dengan pondok penerangan kraftangan, kiosk penjualan tiket, tandas dan bilik mesyuarat akan turut dinaik taraf.

"Sejumlah RM2 juta lagi untuk program pembangunan produk dan sumber manusia dari enam komuniti setempat di sekitar kawasan terbabit.

"Program ini akan dijalankan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah Setiu, dengan objektif membanteras kemiskinan jangka panjang melalui kepelbagaian sumber pendapatan," katanya dalam kenyataan di sini selepas perasmian Boardwalk Setiu oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Boardwalk Setiu merupakan laluan pejalan kaki sepanjang 550 meter menyusuri hutan paya bakau di Tanah Bencah Setiu bagi memberi kemudahan kepada pelancong dan penyelidik untuk mengenali hutan paya bakau Setiu dengan lebih dekat lagi.

Menurut Sidek, Boardwalk Setiu merupakan salah satu daripada komitmen Petronas dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

"Kami berharap agar sumbangan ini dapat membantu memajukan industri ekopelancongan di negeri ini, di samping meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui penglibatan mereka di dalam bidang berkenaan.

"Mengambil kira kebergantungan komuniti setempat kepada tanah bencah berkenaan, Petronas turut membantu menyediakan peluang bagi meningkatkan pendapatan melalui penyertaan di dalam sektor pelancongan," katanya.

Sidek memberitahu, melalui inisiatif itu, peserta yang terpilih akan menyertai program pembangunan sumber manusia seperti bengkel keusahawanan dan kraftangan serta kursus pemandu bot pelancong.

Selain daripada Program Pemuliharaan Ekosistem dan Pelancongan Tanah Bencah Setiu, Petronas turut mendirikan Pusat EcoCare di Kertih, yang merupakan pusat penyelidikan alam sekitar yang pertama di Pantai Timur yang dirasmikan pada tahun 2013. - UTUSAN ONLINE