Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, langkah penutupan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 itu membabitkan kesemua 30 peniaga warga Thailand susulan aduan yang dibuat orang awam.

“Pemeriksaan yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman pada pukul 8 malam kelmarin mendapati pembuangan air dan sisa pemprosesan makanan tidak sempurna, ramai pekerja tidak memakai apron dan penutup kepala, status suntikan yang tidak diketahui di samping tiada sambungan bekalan air bersih yang teratur.

“Tinjauan seterusnya dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam ketika pesta ditutup dan kita me­nemukan 12 kesalahan iaitu bahan mentah disimpan dalam bekas ais yang bercampur-aduk dengan suhu tidak mencukupi, tempat tidur pekerja di bawah pokok yang tidak kemas berlantaikan kertas kotak dipenuhi sampah-sarap, sampah dan sisa makanan dibuang sesuka hati di laluan pejalan serta produk Thailand tiada label dan menyalahi peraturan pelabelan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa turut menemui ayam mentah dalam keadaan pucat dan berbau tanpa sebarang ais pada kotak plastik di samping kebanyakan bahan mentah diletak terus di tanah tanpa sebarang pelapik, air manisan dan air masakan dicemari jalan tar serta susun atur gerai yang berselerak dan sesak.

Katanya, pengendali makanan turut dikesan memakai aksesori manakala rekod suntikan diragui, penyimpanan makanan tidak habis dijual pada hari sebe­lumnya serta banyak peralatan digunakan tidak dibasuh dan dibiarkan terbuka.

“Menerusi mesyuarat ti­ga penjuru membabitkan Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Perbandaran Kemaman dan Persatuan Penjaja pada pukul 10 pagi semalam sebulat suara menyokong syor penutupan pesta makanan Thai itu,” katanya.

Pesta makanan yang bermula Khamis lalu dari pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah malam itu dijadualkan berakhir hari ini.