Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, peruntukan khas bagi penyediaan sistem pengairan di kawasan seluas 80 hektar itu penting memandangkan pasaran dan permintaan terhadap jagung dari baka berkenaan yang tinggi serta mampu memberi pendapatan lumayan kepada petani.

Katanya, tahun lalu hasil pengeluaran jagung di Alur Ketitir adalah sebanyak 1,200 tan metrik dengan pendapatan berjumlah RM1.2 juta melibatkan seramai 60 daripada 80 peserta.

“Setiap peserta masing-masing meraih pendapatan secara kasar sehingga RM15,000 setahun bersamaan RM3,000 setiap pusingan apabila boleh menanam antara empat hingga lima pusingan pada setiap tahun.

“Jadi kita ambil pendekatan untuk mewartakan kawasan ini sebagai khusus untuk tanaman jagung sahaja dan tiada lagi tanaman bercampur seperti getah, kelapa sawit dan kelapa supaya ia benar-benar fokus kepada pengeluaran jagung hibrid di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke kawasan berkenaan hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh.

Menurut Azman, kerajaan negeri juga tidak mempunyai halangan untuk menambahkan lagi keluasan kawasan tanaman itu berdasarkan kepada keperluan dan permintaan semasa.

Katanya, apa yang lebih membanggakan apabila jagung yang ditanam di Alur Ketitir itu turut dijual di Cameron Highlands.

Beliau berkata, sehingga kini, Terengganu mempunyai kawasan tanaman jagung seluas 500 hektar di seluruh negeri termasuk di Hulu Terengganu dan Kemaman dengan hasilnya boleh digunakan untuk membuat 50 jenis produk makanan yang menjadi keperluan penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE