Cabaran Muay Thai Antarabangsa Terengganu 2018 (TIMTC) ditunjangi oleh Kelab Muay Thai Kampung Kubang Jela (KMTKJ) dengan kerjasama Kelab Muay Thai Negeri Terengganu dan beberapa badan lain di samping sokongan kerajaan negeri yang menawarkan Piala Menteri Besar.

Pengerusi KMTKJ, Mohd. Azmi Deraman memberitahu pembe­rita di sini kelmarin, kejohanan yang bermula 9 malam di Stadium Negeri itu menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM35,000.

“Johan keseluruhan akan me­nerima piala, tali pinggang di samping hadiah wang tunai RM1,800 manakala naib johan RM1,400 dan piala.

“Kami menganjurkan kejohanan ini kerana Muay Thai mempunyai kelompok peminat atau penggemar yang semakin meluas di negara ini, di samping dapat merangsang kemunculan bakat baharu dan jaguh pada masa depan,” ujarnya.

Tambahnya kejohanan itu turut menghimpunkan jaguh Algeria, Thailand dan Iran di samping dari negara ini.

“Sebanyak tujuh regu (14 peserta) akan beraksi menunjukkan kehebatan dan ketangkasan mereka.

“Mereka termasuklah Pek Ubun, Nai Nai Kun (wanita) dari Thailand, Walid Otmane dan Ayoub Sadam dari Iran di samping Fikri Rozan, Chen We dan Piji Iron Pmo’ dari Malaysia.

Katanya, Terengganu juga turut diwakili atlet Muay Thai yang akan bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) di Perak tidak lama lagi.

“Atlet muda dari negeri ini telah dihantar berlatih di Pattaya, Thailand khusus untuk persiapan Sukma nanti, dan mereka turut menyertai kejohanan yang akan berlangsung Jumaat ini,” kata­nya.

Bagi menyaksikan kejohanan itu, peminat Muay Thai akan dikenakan bayaran masuk RM15 untuk dewasa manakala RM8 untuk kanak-kanak.