Mereka merupakan kumpulan perintis yang bersama menggerakkan usaha awal syarikat bagi menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di sini agar lebih awal berada di dalam pasaran di tiga buah negeri dengan liputan lebih meluas.

Pertemuan bagi kembali mengeratkan silaturrahim sambil mengimbau kenangan bersama selama enam tahun sebelum berpisah 26 tahun lalu diadakan di Batu Buruk Beach Resort di sini.

Yang turut hadir pendakwah bebas, Azhar Idrus yang merupakan salah seorang daripada bekas kakitangan, juga bekas ketua biro pantai timur, Mohamed Jusoh; ketua biro, Wan Zulkifli Wan Yaacob dan Timbalan Pengarah Unit Komuniksi negeri, Roslan Abdul Rahman.

Azhar turut menceritakan pengalamannya bekerja di Utusan Melayu Bukit Kecil, dan kenangan bersama tidak dilupakan malah beliau lebih senang bersama dengan rakan-rakan lama apabila terluang.

Menurut Mohamed, bekas kakitangan berjaya disatukan melalui media sosial WhatsApp dan usaha ke arah itu tercetus Mac lalu dan beliau bersyukur dengan sambutan meriah meskipun ada dalam kalangan mereka yang menetap di beberapa negeri.

"Memandangkan ada yang sudah lama bersara, berhenti kerja mahu pun bertugas di luar negeri jadi segala perbincangan dibuat menerusi kumpulan WhatsApp yang diwujudkan," ujarnya.

Sementara itu, seorang kakitangan Utusan di sini, Rosmaniar Ramli, 56, berkata, kesempatan majlis tersebut memberi peluang kepada mereka untuk mengeratkan hubungan, dan berharap program sebegini dapat diteruskan.

Pejabat Utusan Melayu Bukit kecil ditutup setelah kilang percetakan baharu di Gong Badak di sini beroperasi dengan sebahagian besar kakitangan terpaksa bertukar dalam proses penyusunan semula. - UTUSAN ONLINE