Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, sejak diperkenalkan pada tahun lalu, seramai 132 pengusaha bengkel telah dibimbing dengan sebahagian besar mencatatkan peningkatan perolehan sehingga ke tahap 71 peratus.

Katanya, inisiatif WTP terarah kepada memperkasakan keupayaan bengkel-bengkel di ne­geri ini, dengan persekitaran yang kondusif, pengurusan kerja dan sumber tenaga kerja yang tersusun dan bersistem bagi mening­katkan mutu perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keyakinan pelanggan.

“Kita tidak menumpukan kepada pengusaha bengkel semata-mata tetapi turut membuka peluang kepada mereka yang bercadang untuk membuka perniagaan ini kerana bidang ini memberi pulangan yang besar kepada mereka yang benar-benar serius untuk memajukan diri.

“Seterusnya, MAI dan YPU akan turut bekerjasama dalam penubuhan bengkel bersepadu di samping pembangunan perusahaan pembuatan automotif dan mengukuhkan sektor lepas jualan di Terengganu pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan YPU yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozali Salleh di Dataran Bidara sempena Ekspo Terengganu 2018 yang bermula hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Negeri di sini semalam.

WTP merupakan program bim­bingan perniagaan bengkel selama sembilan bulan yang menggunakan kaedah one to one yang diberikan secara percuma kepada usahawan bengkel de­ngan pemantauan berterusan.

“Program yang dirintis pada 2014 itu menitikberatkan aspek pengurusan perniagaan termasuk pengurusan akaun, pekerja, jualan, pemasaran dan tabiat keusahawanan,” ujarnya.

Madani memberitahu, penyelenggaraan kenderaan merupakan aktiviti yang membawa impak langsung kepada pemilik, justeru kualiti servis dan alat ganti amat penting dalam memastikan persepsi pengguna terhadap sesuatu jenama dipelihara baik.