Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Moktar berkata, perkembangan itu sekali gus mendorong kerajaan negeri memperkasakan pelbagai program pemantapan ilmu sebagai salah satu pendekatan ke arah meningkatkan lagi kefahaman seluruh masyarakat terhadap isu-isu berkaitan perundangan Islam.

Katanya, penganjuran muzakarah oleh Jabatan Mufti dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) misalnya, mampu menjadi medium dalam memperjelaskan sebarang keraguan masyarakat di samping membincangkan dan memaparkan resolusi paling komprehensif dalam pelaksanaan perundangan Islam sebenar.

“Kita sedang menyiapkan garis panduan hiburan dan muzik agar garis panduan ini bukan hanya dilihat tentang aspek jenayah tetapi dalam seluruh sistem.

“Insya-Allah dengan usaha sebegini dan program bagi menyedarkan ummah ini akan memecahkan segala kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh musuh Islam,” kata beliau ketika berucap merasmikan Muzakarah Perundangan Islam Terengganu 2018 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah.

Yang hadir sama, Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Baru-baru ini, seorang janda berusia 45 tahun menjadi pesalah kedua bagi kes persediaan melacurkan diri di negeri ini yang turut dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama dengan kerajaan negeri dan seluruh jabatan serta agensi berkaitan ke arah menjayakan perundangan Islam dalam seluruh aspek.

Sementara itu, Mohd. Nor ketika bercakap kepada pemberita menjelaskan, antara program kesedaran lain yang turut dilaksanakan adalah jelajah fatwa ke kampung-kampung di seluruh daerah oleh Jabatan Mufti bagi memberi penjelasan mengenai fatwa sedia ada dan baharu untuk kefahaman golongan sasar.

Katanya, kesemua program itu telah digerakkan dan akan diteruskan serta ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan.