Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, usaha itu bukan sahaja dapat membantu memajukan usahawan tempatan, malah membo­lehkan mereka berdaya saing sebagaimana dicapai golongan usahawan di beberapa buah negara di rantau ini.

Jelasnya, negara-negara se­perti Thailand, China, Vietnam dan Bangladesh telah berjaya dalam bidang perniagaan pa­kaian berjenama memandangkan mereka mempunyai tenaga kerja terlatih seterusnya memiliki sijil pengiktirafan.

Sehubungan itu, Mohd. Redzuan juga menyarankan supaya usahawan dalam bidang tenunan khususnya di Terengganu disediakan skim latihan bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran lebih berkualiti dalam bidang jahitan, tenunan dan sebagainya.

“Kalau kita nak tingkatkan mu­tu, kita kena ada latihan. Kita ada skim hari ini dan tukang jahit boleh dilatih untuk jadi lebih mahir dan dapat sijil untuk membuat pakaian berjenama seperti yang terdapat di Vietnam, Thailand, China dan Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) dan Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Ab. Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.

Terdahulu dalam ucapannya­, Mohd. Redzuan berkata, Te­rengganu memperlihatkan tanda-tanda positif dan berpotensi untuk mengembangkan bidang keusahawanan dalam industri tenunan dan kelebihan itu tidak terdapat di tempat lain.

Menurut beliau, kementeriannya bersedia memberi peluang kepada mereka yang berkebolehan dalam bidang tenunan untuk diberikan latihan dalam usaha mengembangkan perusahaan pakaian berjenama `haute couture'.

“Saya cabar agar ada usahawan sedia libatkan diri dalam industri tekstil atau tenunan `haute couture', sebab kalau kita tak ada usaha ke arah itu makin lama ia (tenunan) akan pupus,” ujarnya.