Presidennya, Tan Sri Matshah Safuan berkata, bagi tujuan itu seramai 10 orang dari setiap 16 cawangannya akan dipilih agar mereka dapat bangkit dengan daya saing yang tinggi termasuk menembusi pasaran global.

“Sebagai pertubuhan yang dianggotai oleh usahawan Melayu, sudah tentu kami ingin melihat mereka mampu bersaing dengan golongan lain dalam menghadapi cabaran revolusi 4.0 sekali gus meningkatkan ekonomi bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Mendaya Usahawan dan Dialog Keusahawanan Terengganu 2018 yang diadakan di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup Gong Badak di sini, baru-baru ini yang disertai 2,000 usahawan tempatan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Mohd. Zubir Embong yang ketika itu menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Rozali Salleh.

Kata Matshah, tanpa penggunaan teknologi pantas pada masa ini yang menyediakan pelbagai kemudahan sudah tentu akan menjadikan usahawan ketinggalan.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat kira-kira 229,000 syarikat bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kira-kira 90 peratus daripadanya adalah usahawan mikro.

Sementara itu Mohd. Zubir berkata, usahawan muda di ne­geri ini perlu banyak belajar daripada individu yang berjaya agar dapat mengikut jejak langkah mereka.

“Tidak dinafikan banyak ca­baran yang terpaksa dilalui untuk berjaya tetapi kerajaan ba­nyak menyediakan pelbagai kemudahan dan peluang untuk mereka yang benar-benar ingin memajukan diri,” katanya.

Dalam program itu beberapa penceramah turut diundang antaranya Timbalan Ketua Eksekutif 1, SME Corporation (SME Corp), Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Mohd. Suhaimi Ismail.