Penyampaian HASDI III Sabtu ini
ABDUL MUBIN ISMAIL

Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara HASDI III, Abdul Mubin Ismail berkata, lebih membanggakan apabila penyertaan bagi kategori penulis berusia 21 tahun ke bawah meningkat begitu ketara yang sekali gus memperlihatkan percambahan ramai golongan pelapis.

“Penyampaian hadiah kepada para pemenang berdasarkan karya terbitan sepanjang  2015 dan 2016  itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman malam Sabtu ini di Hotel Permai di sini,”ujarnya kepada Utusan Online hari ini.

 HASDI I dirintis pada 2013, disusuli  HASDI II (2015) ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan para sasterawan /penulis/pengarang anak negeri dan pemaustatin yang telah menghasilkan karya yang bermutu, dan menyemarakkan dunia sastera tanahair.

Hadiah secara dwitahunan itu yang turut menobatkan tokoh Sasterawan Negeri dan Sasterawan Harapan Negeri  di samping karya-karya yang ditulis dalam bahasa Melayu, ditambah baik dalam edisi ketiga ini.

“Ini termasuk meningkatkan nilai dan jumlah hadiah di samping memperkenalkan beberapa kategori /genre baharu, juga diwujudkan hadiah utama dan hadiah penghargaan,”ujarnya yang juga Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).

 Katanya, terdahulu pada sebelah petangnya di hotel yang sama akan diadakan Wacana Karya Terpilih HASDI III yang akan disampaikan oleh kalangan panel penilai yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, Dr. Shamsudin Othman dan S.M Zakir.

“Mereka antara lain akan membincangkan kriteria, skop dan aspek-aspek penilaian serta pemilihan karya yang menang serta keperluan dan tips-tips kepada penulis untuk penyertaan HASDI yang akan datang. Orang ramai dijemput hadir,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE