Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, bagaimanapun jumlah ganjaran itu serta tarikh sebenar mengenainya masih belum diputuskan.

Beliau menjangkakan jumlah bonus untuk setiap seorang dan bila bayaran itu dibuat hanya akan diketahui serta diumumkan minggu depan.

“Memang kita buat keputusan untuk beri bonus raya kepada kakitangan awam di Terengganu yang keseluruhannya lebih 12,000 orang. Cuma jumlah itu saya akan umumkan kemudian,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sidang akbar itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Ahmad Samsuri seterusnya berkata, kelewatan pengumuman bonus itu disebabkan beberapa perkara termasuk kekangan beban kewangan kerajaan negeri ketika ini yang perlu diambil kira.

“Kita akan lihat kedudukan kewangan kita dengan mengambil kira jumlah besar penjawat awam di Terengganu berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai dana raya yang akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak di Terengganu khususnya golongan kurang upaya dan miskin membabitkan peruntukan RM16 juta.

Sehubungan itu, katanya, beberapa siri penjelasan akan dilakukan bagi membolehkan rakyat mengetahui kedudukan sebenar masalah kewangan yang dihadapi kerajaan negeri ketika ini. - UTUSAN ONLINE