“Saya nampak satu semangat berbeza. Walaupun mereka me­nunggu saya selama hampir dua jam tetapi nampak air muka mereka penuh kegembiraan. Saya ya­kin, ini membawa gambaran (tentang kesatuan sikap) DUN Ladang akan menjadi milik kita,”ujarnya.

Ramai yang percaya, landskap politik di kawasan DUN Ladang dalam Parlimen Kuala Terengganu bakal berubah dan dijangka berpihak semula kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Batas fahaman politik yang dibina sekian lama sehingga menjarakkan kalangan penyokong pembangkang daripada BN sudah hampir lenyap dan senario ini turut memberi kelebihan kepada BN.

Apatah lagi ketika masyarakat setempat mahu bergantung harap dengan wakil rakyat yang dapat memenuhi kepentingan mereka agar tidak tercicir dalam arus kehidupan bandar dan pinggir bandar yang berkembang pesat dan sukar dipertahankan lagi.

DUN Ladang bukanlah kawasan Pas, sebaliknya ia merupakan antara kubu kuat BN Terengganu sejak dahulu dan rekod cemerlang kerusi ini sukar digugat oleh Pas kecuali sewaktu berlakunya tsunami politik dalam PRU-10 pada 1999.

Sejarah pencapaian BN di DUN Ladang sebelum ini memperlihatkan reputasi cemerlang calon-calonnya yang meraih kemenangan melebihi 1,000 undi setiap kali berlangsungnya PRU.

Melalui PRU-7 pada 1986, Datuk Abu Bakar Daud menang dengan majoriti 2,110 undi yang sekali lagi mengekalkan kerusi dalam PRU-8 dengan majoriti 1,967 undi dan tradisi kemena­ngan diteruskan oleh Datuk Ros­lan Awang Chik dengan majoriti 1,925 undi (PRU-9).

Bagaimanapun, kekebalan ke­rusi DUN Ladang mula runtuh dalam PRU-10 apabila Roslan tewas kepada calon Pas majoriti 2,574 undi, namun semasa PRU-11 BN berjaya merampas semula kerusi itu melalui Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang menang dengan majoriti 1,041 undi.

Wan Hisham bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU-12, tewas tipis dengan hanya 31 undi manakala BN melalui Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula tunduk dengan majoriti 924 undi dalam PRU-13.

Antara punca kekalahan dua kali berturut-turut calon BN kepada Pas dalam PRU-12 dan PRU-13 adalah disebabkan masalah dalaman UMNO sendiri termasuk isu calon sehingga berlakunya perbuatan sabotaj dalam kalangan ahli yang turut melumpuhkan gerak kerja parti.

Ahmad Razif dalam pertemuan pertemuan dengan jentera parti peringkat Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini pernah memberitahu bahawa tiada sebab kenapa BN akan terus tewas di Ladang sekiranya semua jentera bekerja kuat.

Persoalannya, apakah masalah dalaman sudah berjaya disisihkan dalam kelompok UMNO DUN Ladang bagi menghadapi PRU-14 sekali gus membolehkan kerusi ini kembali dalam pangkuan BN?

Bagi memastikan gejala ini tidak lagi memberikan kesan yang besar dalam PRU-14 yang dianggap pa­ling mencabar kedudukan BN selaku teraju pemerintahan negeri dan negara, UMNO Bahagian Kuala Terengganu telah membuat persediaan.

Pegawai Penyelaras UMNO DUN Ladang, Datuk Mohd. Sabri Alwi ketika bercakap kepada sidang media berkata, cubaan melakukan sabotaj terhadap parti akan cuba dikurangkan termasuk dengan penubuhan unit khas bagi mela­kukan pemantauan terutama sepanjang musim kempen.

“Jika masalah ini dapat dibersihkan, saya menaruh keyakinan tinggi bahawa DUN Ladang akan kembali ke pangkuan BN. Kita akan pastikan Ladang menjadi milik BN dalam PRU-14,” katanya yang mungkin perlu turut mewujudkan jentera alternatif di lokasi tertentu bagi mengukuhkan keyakinannya itu.

Namun, usaha menyatukan semula kalangan berpuak-puak dalam parti harus terus dilakukan tanpa dibiarkan kembali menjadi barah ketika UMNO mengharapkan pengundi agar ‘Wi Gok Sekali’ (berikan peluang sekali) untuk mewakili mereka dan melakukan perubahan.

DUN Ladang dikatakan mempunyai ramai kalangan yang merasakan diri lebih mampu dan lebih layak diangkat sebagai calon, dan dengan hanya akan terpilih, mungkinkah masih ada yang melampiaskan kekecewaan mereka dengan mensabotaj UMNO?