Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Mohd Mahdi Musa berkata, lazimnya apabila disebut penguatkuasa PBT, masyarakat memandangnya seolah-olah sebagai sesuatu yang menyusahkan sedangkan ia dilakukan bagi kebaikan semua.

Katanya, semua peraturan dan undang-undang yang diadakan bertujuan memastikan masyarakat di pelbagai peringkat mendapat khidmat dan kemudahan yang lebih baik serta teratur dengan pengurusan yang sempurna.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, kerajaan berharap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh PBT kepada masyarakat dipertingkatkan sepadan dengan bayaran yang diberikan oleh orang ramai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Asas Kursus Penguat Kuasa PBT negeri di samping memyempurnakan penyampaian sijil di Dataran Anjung Kota Putera Kampung Raja, dekat sini baru-baru ini.

Seramai 65 anggota penguat kuasa yang dipilih dari tujuh buah PBT menyertai kursus selama seminggu di Hutan Lipur Lata Belatan Jabi, dekat sini bagi menerapkan disiplin yang tinggi di samping pendekatan dalam menangani pelbagai permasalahan setempat.

Selain itu Mohd Mahdi berkata, PBT perlu memberikan tumpuan kepada aspek kebersihan yang dipandang serius oleh kerajaan negeri untuk memastikan masyarakat dapat menikmati kehidupan dalam suasana yang sihat dan sejahtera.

“Kerajaan negeri ingin memastikan aspek kebersihan sentiasa diberi perhatian oleh semua PBT memandangkan negeri ini kini sentiasa menjadi dsatinasi pilihan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara,’’ ujarnya.

Tambahnya, satu lagi aset penting Terengganu ialah keluasan pesisir air sepanjang 244 kilometer dari Kemaman ke Besut merupakan satu produk pelancongan yang menarik dan memebri pulangan besar jika dimanfaatkan sepenuhnya oleh PBT dan masyarakat.