ISMAIL ABD. MUTALIB

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Mutalib berkata, sejumlah 581 kes penderaan oleh pengasuh dilaporkan sejak 2015 sehingga Jun lalu .

“Sikap mementingkan keuntungan dengan mengambil ramai kanak-kanak pada satu-satu masa dan diletakkan di bawah jagaan pengasuh yang terhad jumlahnya, tidak terlatih serta bermasalah adalah antara penyumbang kepada kes-kes penderaan dan penganiayaan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kepada Peserta Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Permata dan Kursus Usahawan Asuhan Permata di Rumah dekat sini, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dalam kejadian terbaharu di sebuah tadika di Kajang, Selangor, semalam, seorang kanak-kanak berusia 4 tahun mengalami pendarahan telinga selain kesan lebam di kedua-dua pipi akibat ditampar oleh seorang pengasuh.

Kata Ismail, antara kriteria pen­ting yang perlu dipatuhi pengasuh adalah kekuatan dari segi fizikal dan mental, kesabaran tinggi, memahami psikologi kanak-kanak, mampu mengawal emosi selain keupayaan di segi kerohanian dan ilmu agama.

Di samping itu, jelas beliau, pe­ngambilan kakitangan juga akan mengambil kira kelayakan akademik yang dimiliki bagi melahirkan kakitangan yang benar-benar mempunyai jati diri.

“Sebab itu dari segi emosi, ke­rohanian, fizikal, mental serta ke­sabaran cukup penting bagi se­tiap pengasuh ketika berdepan ke­renah kanak-kanak. Pe­ngasuh kena ba­nyak sabar bila tengok budak menangis dan pujuk mereka,” katanya.

Ismail seterusnya menasihatkan para pengusaha agar sentiasa memastikan pengasuh yang diambil mempunyai kriteria yang ditetapkan.

“Jika berlaku insiden sehingga mencederakan kanak-kanak, pe­nga­suh bakal dipenjara 10 tahun atau denda sehingga 20,000 di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.