DUN dalam Parlimen Marang satu-satunya dilihat sebagai kerusi ampuh bagi BN sejak sekian lama yang ternyata makin sukar ditembusi oleh pembangkang kecuali ketika tsunami politik 1999, dan ini diakui oleh kalangan penyokong parti pembangkang yang cuma mengharapkan akan berlaku perpecahan dalam UMNO di situ untuk memberikan kekuatan.

Tidak banyak faktor penolak kali ini dengan nasib rakyat terus diberi pembelaan melalui pelba­gai pendekatan oleh kerajaan ne­geri dan kepemimpinan setempat, diterajui oleh Ketua UMNO Bahagian, A. Latiff Awang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu di sam­ping sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Perpecahan dalam pakatan pembangkang menambahkan sedikit lagi kelebihan selain kecenderungan pengundi muda yang lebih mendekati BN di sam­ping mood perubahan yang diperlihatkan kalangan pengundi Cina, ketika A. Latiff turut merapatkan saf dalam jentera parti.

Mengimbas kembali sejarah Pi­li­han Raya Umum (PRU) kawasan ini, calon baharu BN dalam PRU-10 ketika itu, Latef Mohd. Noor gagal meneruskan penguasaan BN selama tiga penggal setelah tewas kepada calon Pas, Datuk Mustafa Ali dengan majoriti 1,609 undi.

DUN Pengkalan Berangan yang dahulunya dinamakan Binjai, berada dalam kelas tersendiri bagi BN kerana calon yang bertanding selepas tsunami politik 1999, kembali meraih kemenangan berterusan.

Pada PRU-11 tahun 2004, BN kembali berkuasa di kerusi Pengkalan Berangan apabila calonnya, Yahya Khatib Mohamad berjaya menewaskan Mustafa Ali dengan majoriti 1,371 undi.

Dalam PRU-12, tahun 2008, Yahya sekali lagi menang setelah menewaskan calon Pas, Mohd. Draman dengan majoriti 930 undi sebelum tugas itu diambil alih oleh anak saudaranya A. Latiff Awang bertanding di kerusi berkenaan dalam PRU-13, pada tahun 2013.

Penampilan buat pertama kali A. Latiff juga berjaya meneruskan kecemerlangan BN di Pengkalan Berangan apabila beliau berjaya menewaskan calon Pas, Sulaiman Sulong dengan majoriti undi lebih besar, iaitu 1,848 undi.

Sepanjang hampir lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, A. Latiff dilihat terus mencorak perubahan bagi melaksanakan pel­bagai projek pembangunan prasarana melibatkan peringkat kampung.

Selain bantuan secara terus untuk kepentingan dan kesejahte­raan rakyat melibatkan bantuan sara hidup dan keperluan lain melalui pelbagai insentif yang disediakan aspek perumahan rakyat, pendidikan, keagamaan, kesihatan, kemahiran dan sukan diberi perhatian.

Ini termasuklah dengan pembangunan Sekolah Imtiaz Yayasan Terenfgganu dan pusat tahfiz ba­gi pengembangan pendidikan seimbang di samping pembinaan masjid-masjid baharu yang telah dan sedang dalam proses membangunkannya.

Selain itu, usaha memenuhi ke­perluan anak muda seperti litar motocross dipenuhi di sam­ping usaha membangunkan kompleks sukan di Wakaf Tapai dan lebih banyak gelanggang futsal manakala hospital daerah yang baharu pula telah mendapat kelulusan untuk kemudahan perkhidmatan kesihatan lebih baik.

Pekan-pekan kecil turut dinaik taraf dan semakin berubah wajah iaitu Wakaf Tapai, Binjai Rendah, Mercang dan Pengkalan Berangan bagi menjana kegiatan ekonomi.

Bahagian selatan di zon pantai melibatkan Jambu Bongkok dan Pasir Putih bakal dikenali sebagai 'Lembah Silika' kedua di negeri ini yang akan menjadi pusat pertumbuhan baharu melalui industri berasaskan bahan itu sekali gus akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, A. Latiff me­nga­jak semua rakyat khususnya pengundi di setiap DUN dalam Parlimen Marang dapat memberi kemenangan lebih selesa kepada BN dalam PRU-14 agar segala usa­ha ini tidak terencat.

“Kalau BN menang, setiap DUN bakal menerima RM30 juta, maka ada peruntukan tambahan yang lebih besar untuk menjayakan lebih banyak perancangan bagi faedah. Kita melaksanakannya untuk kepentingan rakyat tanpa memikirkan soal fahaman politik atau siapa yang mereka sokong,” ujarnya.