Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sepanjang tempoh tersebut juga,  lebih RM275 juta telah dilaburkan oleh TSC bagi pembangunan projek berkenaan secara berperingkat.

"Silika yang diproses di sini mengikut beberapa gred yang diperlukan oleh industri di beberapa negara termasuk Jepun, Korea dan Taiwan.

"Selain itu, bermula tahun depan kita juga berhasrat memperluaskan lagi industri ini dengan penglibatan masyarakat kampung menerusi penghasilan produk cenderamata berasaskan silika," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kilang TSC dan meninjau operasi pengeluaran.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pegawai Eksekutif TSC, N.Surendran.

Tapak projek pengeluaran pasir silika di kawasan seluas 1,000 hektar di daerah ini dan Lembah Silika di Marang (seluas 4,000 hektar)  bakal menjadi kawasan perindustrian berpusat pertama di dunia untuk silika dan sektor berkaitan galian itu.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri akan meminta pihak syarikat supaya menimbus balik 40 peratus daripada lombong dengan sisa silika di samping sebahagiannya akan dijadikan kolam ikan.

Katanya, projek pembangunan silika berbeza dengan galian lain dan tidak timbul kebimbangan soal kemusnahan alam sekitar sebagaimana bauksit di Kuantan, Pahang.

"Setakat ini tiada aduan dan kita berpuas hati, malah pembinaan ini juga telah mendapat
kelulusan," katanya. - UTUSAN ONLINE