Abdul Rahman Bakar

Pengerusi Kelab Sahabat N87 Terengganu, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar berkata, ini bagi memberi ke­sedaran kepada rakyat mengenai fitnah jahat terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan segala tohmahan serta fitnah yang sengaja dicetuskan pihak pembangkang termasuk Pakatan Harapan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sekarang ini banyak fitnah daripada pembangkang terutama Pakatan Harapan dengan membawa isu-isu yang tidak masuk akal seperti negara akan bankrap dan sebagainya.

“Kita harap program ini dapat menyedarkan orang ramai agar jangan mudah terpengaruh dengan segala pembohongan pembangkang ini. Jadi, kita akan teruskan program seperti ini ke kawasan Parlimen lain di Terengganu selepas ini,” katanya.

Beliau me­nyatakan perkara itu selepas Program Penerangan Isu-Isu Semasa dan Dialog Antifitnah Parlimen Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) di sini, baru-baru ini yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang.

Dalam pro­gram itu, Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam dan Pengerusi Persatuan Aktivis Media Sosial yang juga seorang peguam berpengalaman, Datuk Kamarudin Ahmad diundang khas sebagai panel untuk memberi penjelasan mengenai isu semasa dan antifitnah pembangkang.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Kelab Sahabat N87 Terengganu, Datuk Nasir Ibrahim Fikri serta Pengerusi Program yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku manakala Presiden Dewan Perniagaan Malaysia Global (MGCC), Datuk Dr. Alex Ong bertindak sebagai moderator.