Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri mempelawa mana-mana pihak pihak yang berminat dan berkeupayaan untuk bersama-sama memajukan zoo tunggal di pantai timur ini agar menjadi tarikan dan memberikan pulangan kepada rakyat serta negeri.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengkaji dengan lebih terperinci bagi melaksanakan penambahbaikan Zoo Kemaman agar tidak lagi menyebabkan bebanan kewangan yang besar.

“Kita akan kaji dengan lebih mendalam perancangan masa depan zoo ini. Apa yang boleh kita buat dengan keadaan yang sedia ada sekarang walaupun ada beberapa fasa perlu dipersiapkan dan ditambah baik.

“Selain itu, inisiatif yang diambil selepas ini perlu dapat memberi keuntungan kepada rakyat di sekitar yang mana mereka boleh terlibat dalam aktiviti ekonomi termasuk dengan menyediakan gerai-gerai bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau keada­an zoo berkenaan di Bukit Takal petang semalam sempena lawatan kerja ke daerah ini. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

Zoo dan Taman Rekreasi Kemaman mula dibuka kepada orang ramai pada 2009 meliputi kawasan hampir 15 hektar buat permulaan sebelum kerajaan nege­ri ketika itu merancang untuk mengembangkannya meliputi lebih 100 hektar.

Pembangunan direncanakan dalam tiga fasa dan kini telah melewati fasa dua dengan pelaburan dianggarkan lebih RM60 juta (bagi fasa dua) namun masa depan zoo berkenaan menimbulkan tanda-tanya kerana keadaan tidak bermaya malah dianggap sebagai projek gajah putih.

Menurut Ahmad Samsuri, penglibatan pelabur swasta dijangka dapat mengatasi bebanan kewangan yang berterusan di sam­ping membantu memberi impak kepada sektor pelancongan.

“Difahamkan kira-kira RM3 juta setahun terpaksa dibelanjakan pihak pengurusan zoo bagi tujuan itu sedangkan pendapatan yang diperoleh hasil kutipan tiket hanya sekitar RM700,000 hingga RM800,000 bagi tempoh sama.

“Melihat keadaan itu, kerajaan negeri perlu memikirkan langkah yang munasabah sama ada untuk membiayai, menaiktaraf kemudahan dan penjagaan haiwan tanpa melibatkan pertambahan kewa­ngan kerajaan,” katanya.