Secara serentak, mereka yang mewakili 15 buah sekolah menengah sekitar daerah ini,  12 sekolah rendah dari  Kuala Terengganu dan Dungun  mendeklamasi puisi Lentera Penyuluh Transformasi itu sebagai penghargaan kepada warga pendidik.

Selain itu, program yang secara tidak langsung mendekat mereka dengan puisi, turut disertai seramai 200 orang kanak-kanak Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri ini.

Jumlah penyertaan  itu telah melepasi sasaran asal iaitu sekitar 1,850 orang sekali gus mengatasi rekod yang dicatatkan sebelum ini iaitu 1,512 pelajar.

 Program  berlangsung kira-kira pukul 4 petang sejurus selepas perasmian Karnival SawaTesdec iaitu program komuniti selama tiga hari yang antara lain dimeriahkan dengan sukaneka, persembahan kesenian, senamrobik, gotong-royong dan pemeriksaan kenderaan percuma.

 Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, Bazlan Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin; Pegawai Daerah Marang, Zainal Abidin Mohamed; Pengurus Besar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec); Saidi Salleh @ Sulong dan Pengarah Pendidikan Daerah  Marang, Mohd. Adnan Salleh.
 
Dalam majlis itu, sijil MBOR kemudiannya disampaikan oleh Penolong Pengurusnya, Ayman Izzaz kepada Pengetua SMK Bukit Sawa, Abu Hasmadi A. Bakar. - UTUSAN ONLINE