Langkah yang sama pernah dilaksanakan dalam kawasan Parlimen Besut melibatkan 100 buah rumah pada 2016 dan melalui program Touch Point Cabinet Away Day 2017 itu, Kementerian Pendidikan Tinggi memperuntukkan RM170,000 untuk menyediakan kemudahan kepada golongan sasar.

Pengarahnya, Radiah Che Su berkata, melalui projek yang bermula Oktober tahun lalu, PKT telah diberi tanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja membaiki dan memulihkan elektrik di rumah-rumah terpilih dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Payung, Alor Limbat, Rhu Rendang dan Pengkalan Bera­ngan.

“Dalam fasa pertama yang bermula Oktober hingga November, PKT berjaya menyiapkan sebanyak 12 buah rumah dan fasa kedua melibatkan 22 buah rumah lagi,” katanya ketika berucap da­lam majlis perasmian program itu di Kampung Kenanga, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Radiah, fasa kedua sudah bermula sejak awal Disember tahun lalu dan dijangka akan berakhir pada pertengahan bulan ini.

Tambahnya, selain mengenal pasti dan membaik pulih kerosakan pendawaian elektrik yang mengurangkan bebanan kos setiap keluarga, program itu sekali gus menjadi motivasi kepada pelajar di bidang kejuruteraan elektrik menjalankan kerja kebajikan selain pendedahan terhadap kerja di lapangan.

“Antara aktiviti yang dilaksana­kan sepanjang program termasuk membaik pulih pendawaian elektrik usang dan boleh membahaya­kan keselamatan pengguna serta aktiviti pendawaian penambahan untuk pemasangan lampu, soket dan kipas.

“Selain itu pelajar turut membantu menukarkan aksesori pendawaian elektrik yang rosak dan semua aktiviti terbabit dipantau kalangan pensyarah,” katanya.