Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Agama Institut Pengajian Islam (Inspi) dan PDI, Muhammad Ramli Nuh berkata, peruntukan itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri baru-baru ini bagi menaik taraf institusi dan mampu menampung lebih ramai penuntut.

“Insya-Allah, bila siap bangunan itu nanti yang saya jangka mungkin tahun hadapan, para pelajar akan lebih selesa menuntut ilmu di sini dan turut menjadi asas bagi mereka melanjutkan pengajian.

“Mungkin keadaan pondok itu tidak lagi kelihatan seperti pondok biasa dengan adanya bangunan moden ini. Tapi, asasnya pondok dan kita takkan lari daripada asas ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Kali Pertama dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar PDI di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah YIT, Datuk Dr. Alias Abdullah; Penolong Pengarah Kanan Dakwah YIT, Mohd. [email protected] Abd. Rahman serta pemangku Pengetua PDI, Mohd. Yusof Said.

Dalam majlis itu, seramai 13 penuntut menerima Sijil Syahadah Thanawiyyah fasal pertama manakala 11 lagi menerima sijil yang sama untuk fasal kedua.

Turut diraikan ialah penerima Anugerah Kecemerlangan Kelas Tafaqquh dan Anugerah Kecemerlangan Kelas Akademik 2014 serta penerima Anugerah Pelajar Mithali 2014, Mohd. Zulhilmi Mat Ghani.

Dalam pada itu, Muhammad Ramli berkata, lulusan PDI kini boleh berbangga apabila banyak institusi tempatan dan luar negara bersedia memberi tawaran khusus untuk menyambung pengajian mereka selepas ini.

“Alhamdulillah, kita juga telah menjalinkan kerjasama dengan UIN Suska (Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim) di Riau, Kepulauan Sumatera, Indonesia.

“Sudah ramai pelajar dari negeri ini yang kita hantar ke sana. Bahkan, ada dalam kalangan pelajar kita yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik di sana,” ujar beliau.

Tambah Muhammad Ramli, PDI juga kini menjadi antara pusat pengajian pilihan oleh ibu bapa di negeri ini selepas anak-anak mereka menamatkan pengajian di sekolah rendah.

“Saya difahamkan, ramai dalam kalangan ibu bapa melihat PDI yang berkonsepkan pengajian sekolah pondok ini sebagai pusat pengajian ilmu agama yang ideal untuk anak-anak mereka.

“Kerajaan negeri ketika ini juga amat menitikberatkan pengembang­an pengajian pondok untuk memberi peluang lebih ramai mendalami ilmu agama,” ujarnya.