Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tiada sebab untuk mereka tidak bersama mengibarkannya sebagai suatu tanda menghargai kemerdekaan yang dicapai oleh negara, dan nikmat kemakmurkan yang dikecapi.

“Hari ini bermulanya kempen mengibar Jalur Gemilang, kita telah mengarahkan PBT untuk meminta semua premis di setiap daerah berbuat demikian,” katanya.

Di samping itu katanya, kerajaan negeri menggalakan pelbagai bentuk pertandingan berasaskan kreativiti bagi menarik penglibatan pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan suasana kempen.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan merasmikan pelancaran Program Negaraku Sehati Sejiwa dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Perayaan Bulan Kebangsaan peringkat negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan pentas Ritma Gen-T oleh 100 pelajar pelbagai kaum di samping perarakan membawa Jalur Gemilang oleh 50 anggota Rejimen 512 Askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSTL).

Sebagai gimik pelancaran, Menteri Besar melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan serta pelepasan Konvoi Kembara Merdeka. - UTUSAN ONLINE⁠⁠⁠⁠